23 February 2007

Pengalaman yang tak dapat dilupakan....

Cuti Tahun Baru Cina yang paling bermakna bila kesesakan lalulintas yang teruk telah menyebabkan plan A bertukar menjadi plan Z. Ceritanya sangat panjang, berputar belit dan sangat menyentuh perasaan...
Plan A ke Sg. Klah Hotspring, Sungkai, Perak pada hari Sabtu 17/2/2007. Mengikut perancangan 4 group yang akan pergi iaitu skuad CRV 7447, CRV 8440, Avanza 4403 dan Citra 5234. Skuad CRV 8440 yang hanya membawa peralatan pinggan mangkuk sudu dan garpu telah ditugaskan bergerak seawal 6 pagi untuk urusan booking tempat yang paling strategik di sana. Skuad CRV 7447 dan Avanza 4403 yang memang terkenal dengan 'tembelnya' ditugaskan membawa makanan iaitu nasi dan lauk pauk bertolak lewat 7.30 pagi itupun setelah mendapat amaran kesesakan lalulintas dari skuad CRV 8440. Sementara skuad Citra 5234 yang ditugaskan membawa binatang2 korban barbeque seperti udang, ikan, burger dan sosej telah bergerak seawal 6 pagi untuk ke Pasar Besar Selangor membeli belah dan kemudian bertolak dari Puchong jam 8 pagi. Skuad CRV 8440 telah terkandas di Jejantas Sg. Buloh, Rawang dan Bukit Beruntung sehingga 2-3 jam dan selamat tiba dengan pinggan mangkuk di Sungkai jam 11-12. Malangnya skuad CRV 7447 dan Avanza 4403 yang terkandas di Jalan Duta, Sg Buloh dan Rawang telah membuat keputusan tak berapa bijak masuk ke jalan Kuala Selangor untuk ke utara. Skuad Citra 5234 yang sentiasa menurut perintah turut masuk ke jalan yang sama untuk bersekongkol dengan yang lain. Malang tidak berbau walaupun awal-awal lagi dah tau, jalan Kuala Selangor juga sesak dan tidak bergerak sementara hujan turun sangat lebat. Lebih kurang pukul 1 tengahari, di Kuala Selangor beberapa kali cubaan dibuat untuk berpatah balik namun semangat udang dan kembung dalam 'coleman' telah menyebabkan semua skuad berusaha meneruskan perjalanan sehinggalah ketua pasukan mengarahkan semua berhenti makan untuk meeting di sebuah kedai yang 'ala-ala kadar' aje. Perut yang lapar telah menutup mata skuad2 untuk melihat persekitaran restoran yang 'gitu-gitu' dan setelah kata putus dibuat, perjalanan tetap diteruskan tapi beralih arah ke Lumut, Perak. Keputusan yang dibuat mengambil kira nasib anak-anak yang ciak piak kelaparan dan kepenatan, kaki bapak-bapak yang krem menekan brek dan minyak akibat jam terlalu lama dan mak-mak yang sakit punggung dan mulut akibat duduk dan membebel terlalu lama dalam kereta. Dan hari semakin petang, nasib skuad2 di Sungkai masih belum pasti maka keputusan dibuat untuk mencari tempat berehat yang selesa dan dekat. Maka cadangan ke Lumut diterima bulat2 tanpa usul periksa.
Pukul 4 petang skuad2 telah berjaya melepasi Sabak Bernam yang sesak teruk akibat banjir dan akhirnya pukul 5 petang kami berjaya tiba di Lumut. Sementara di Sungkai yang tiada liputan MAXIS, skuad CRV 8440 yang menunggu bagai nak rak sambil berendam-rendam bermain air dipersisiran kolam dengan pinggan kosong. Mesej hanya sampai ketika Ketua pasukan skuad 8440 iaitu Kapten Tok Tam bertindak bijak membonceng motosikal orang asli untuk keluar ke pekan mencari signal. Mesej lengkap hanya dapat diterima jam 6.45 petang bila skuad 8440 telah bergerak meninggalkan Sungkai untuk pulang dengan putus asa.
Sementara di Lumut, skuad2 telah berusaha mencari hotel2 dan apartmen2 yang rata-rata penuh sehingga jam 6 petang dan akhirnya atas belas ehsan ketua dari segala ketua skuad iaitu Leftenan Jeneral Pak Long, kami semua ditempatkan di sebuah banglo mewah semahal RM1,000-00 semalam di SWISS GARDEN Damai Laut, Lumut. Di banglo besar 4 bilik itulah skuad2 meluruskan pinggang dan mengorbankan udang2 dan ikan2 yang masih beku. Terima kasih 'coleman' dan 'hanabishi' yang telah membantu pesta barbeque kami yang tak seberapa. Selain penginapan di banglo mewah dan barbeque, Skuad2 yang sehelai sepinggang telah diberikan satu berus gigi percuma untuk setiap seorang sebagai hadiah percutian. Bagi kanak-kanak yang sentiasa bersemangat untuk bercuti, perjalanan yang teruk dan lama tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melompat-lompat kesukaan bila menjejakkan kaki ke banglo dan swimming pool. Begitu juga dengan mak-mak dan bapak-bapak yang tak pernah seumur hidup diberi peluang tinggal di banglo semewah itu, walaupun tak larat membuka mata tapi masih mampu tersenyum kambing. Malam itu Banglo Seri Anggerik sunyi sepi kerana penghuninya betul-betul nyenyak kekenyangan dan kepenatan. Kepada penaja yang pemurah lagi budiman, semoga Allah memurahkan rezeki anda untuk menaja kami SKUAD-SKUAD yang MALANG ini di lain kali.
Setiap yang berlaku banyak hikmahnya. Usahlah kita kesalkan jika kita terlepas satu peluang yang baik kerana itu mungkin peluang untuk kita mendapat satu peluang lain yang lebih baik....
(Photos will be ready soon)
 

Design By:
SkinCorner